DARI RUMAH KE RUMAH, MAIPk DEKATI ASNAF DI GERIK
GERIK, 19 Ogos 2025 – Majlis Agama Islam dan ‘Adat Melayu Perak (MAIPk) Cawangan Gerik meneruskan komitmen menyantuni golongan asnaf melalui Program Ziarah Asnaf dan Penyerahan Bantuan di sekitar daerah Gerik. Program ini memastikan bantuan zakat disampaikan terus kepada mereka yang memerlukan, di samping memberi ruang kepada pihak MAIPk untuk mendengar sendiri keperluan serta permasalahan penerima.
Sebanyak enam (6) buah rumah asnaf diziarahi dengan jumlah keseluruhan bantuan RM119,977.60. Pelbagai bantuan disalurkan, termasuk bantuan perubatan, peralatan keperluan asas, modal perniagaan, bantuan kewangan bulanan serta bantuan bina rumah baharu.
Penyerahan bantuan disempurnakan oleh Orang Besar Jajahan Hulu Perak, YDH. Toh Muda Orang Kaya Kaya Seri Adika Raja Shahbandar Muda Dato’ Ar. LA Meor Roslan bin Dato’ Seri Hj. Meor Ahmad Rashid.
Turut hadir Pengurus Besar Bahagian Agihan Zakat MAIPk, Suhaimi bin Yusoff; Penghulu Mukim Kenering, Syed Mohamad ‘Ammaruddin bin Sayd Bekari; Penghulu Mukim Kerunai, Sharil Ariff bin Tun Ahmad; Penghulu Mukim Gerik, Ananthirawit A/L Prawat serta para pekhidmat MAIPk dari Ibu Pejabat dan Cawangan Gerik.
Program ini membuktikan keprihatinan MAIPk dalam memastikan zakat yang ditunaikan oleh umat Islam di Negeri Perak diagihkan kepada mereka yang benar-benar berhak. Selain meringankan beban kewangan, inisiatif ini turut membantu meningkatkan kualiti hidup penerima melalui penyediaan kemudahan asas dan persekitaran tempat tinggal yang lebih baik.









